Peristiwa Astronomi Dan Misi Angkasa Sepanjang 2022

MY Astronomi 🇲🇾
3 min readJan 25, 2022

--

Artikel ini akan menghidangkan kepada anda tentang peristiwa-peristiwa berkaitan angkasa lepas yang anda tidak sepatutnya ketinggalan pada 2022. Anda akan mengetahui tentang hujan meteor, gerhana bulan dan matahari, dan beberapa misi angkasa yang akan datang. Jom kita mulakan!

PERISTIWA ASTRONOMI

3 Januari 2022: Hujan Meteor Quadrantid

Tahun 2022 akan dimulakan dengan Quadrantis. Hujan meteor ini boleh menghasilkan sehingga 120 meteor sejam. Pada kemuncak Quadrantids pada Januari 2022, langit hanya diterangi 1% cahaya dari bulan dan ia merupakan masa yang sangat sesuai untuk memburu meteor. Anda boleh mula memerhati langit selepas tengah malam. Punca meteor Quadrantid boleh dikesan pada kawasan buruj Bootes, tapi meteor boleh muncul di mana-mana sahaja.

30 April 2022: Gerhana Matahari Separa

Gerhana matahari separa boleh berlaku apabila bulan melindungi hanya sebahagian cahaya matahari di langit. Pada 2022, akan berlaku dua gerhana matahari separa. Pertama akan berlaku pada 30 April dan hanya boleh dilihat di selatan Amerika Selatan dan sebahagian Antartika. Ingat, jangan sesekali anda melihat secara terus kepada matahari tanpa menggunakan peralatan khusus!

16 Mei 2022: Gerhana Bulan Penuh

Gerhana bulan penuh berlaku apabila bulan melintasi bahagian tengah bayang-bayang bumi yang dipanggil umbra. Gerhana bulan ini lebih menarik kerana akan menukarkan cahaya bulan kepada warna merah. Pada 2022, gerhana bulan penuh akan berlaku dua kali. Pertamanya akan berlaku pada 16 Mei dan boleh dilihat di Amerika Utara, Greenland dan sebahagian Eropah barat dan Afrika barat.

13 Ogos 2022: Hujan Meteor Persid

Persid, kemungkinan merupakan pertunjukan meteor yang popular sekurang-kurangnya pada bahagian Hemisfera utara di mana kemuncaknya ketika malam musim panas. Hujan meteor ini berupaya menghasilkan sehingga 100 meteor sejam. Sayangnya pada 2022 ia akan berlaku pada malam bulan penuh yang mana bukanlah masa yang ideal untuk memburu meteor akibat cahaya bulan yang menerangi langit malam. Bagaimanapun sesetengah meteor Persid amat cerah jadi ia memberi anda peluang untuk melihat pertunjukan yang cantik ini. Untuk menangkap meteor yang lebih banyak, sila jarakkan pandangan amda dari titik punca meteor Persid yang terdapat di buruj Perseus.

26 September 2022: Pertentangan Musytari

Pertentangan bermaksud apabila sebuah planet berada betul-betul bertentangan dengan Matahari apabila dilihat dari Bumi. Ini adalah masa yang amat bagus untuk memerhati planet di langit. Pada 2022, planet gas gergasi, Musytari akan menjangkau posisi bertentangan pada 26 September. Anda boleh melihat planet yang begitu cerah ini dengan mata kasar; menggunakan binokular akan membolehkan anda melihat bulan Musytari, Galilean.

25 Oktober 2022: Gerhana Matahari Separa

Pada 25 Oktober, gerhana matahari separa kedua akan terjadi. Ia boleh dilihat di kebanyakan tempat di Eropah, Afrika utara, Timur Tengah dan sebahagian Asia Barat. Penglihatan yang terbaik adalah di tengah Rusia dengan sekitar 75% cahaya matahari terlindung.

8 November 2022: Gerhana Bulan Penuh

Pada 8 November, gerhana bulan penuh kedua akan berlaku. Pada kali ini, gerhana boleh dilihat di timur Rusia, Jepun, Australia dan sebahagian barat dan tengah Amerika Utara.

14 Disember 2022: Hujan Meteor Geminid

Geminid adalah pertunjukan meteor utama yang mana ia boleh menghasilkan sehingga 150 meteor sejam. Hujan meteor Geminid amat terang dan mempunyai warna yang pelbagai: putih, kuning, merah, biru dan hijau. Punca geminid adalah pada buruj Gemini. Jika anda berada di Hemisfera utara, anda boleh mula melihat meteor sebelum tengah malam. Hemisfera selatan pula harus menunggu sehingga lepas tengah malam.

MISI ANGKASA LEPAS

Artemis 1

Misi tanpa kru NASA, Artemis 1 bakal membuka jalan kepada eksplorasi Bulan pada masa hadapan. Sepanjang misi, kapal angkasa Orion akan meluangkan masa enam hari untuk mengorbit keseluruhan satelit semulajadi kita. Jika Artemis 1 berjaya, misi berikutnya - Artmis 2 - akan diterbangkan bersama kru ke orbit Bulan.
Artemis 1 dijangka akan dilancarkan selepas bulan Februari 2022.

Luna 25

Misi Bulan lain yang dirancang akan dilancarkan tahun ini adalah Luna 25 oleh agensi angkasa Rusia, Roscosmos. Ia akan menjadi misi pertama Rusia ke permukaan Bulan sejak Luna 24 pada 1976. Sepanjang misi, kapal angkasa Luna 25 akan mendarat berhampiran kutub selatan bulan iaitu sekitar kawah Boguslabsky dan akan mengkaji komposisi regolit kutub.

Pelancaran Luna 25 dijadualkan pada Julai 2022.

Psyche

Misi NASA, Psyche dinamakan selepas mengkaji asteroid besi gergasi 16 Psyche yang terletak di lingkaran asteroid utama. Saintis percaya bahawa asteroid ini terdiri daripada teras besi yang bersaiz sebesar planet Marikh. Kapal angkasa Psyche akan memasuki orbit asteroid untuk mengkaji geologi, bentuk, komposisi elemen dan parameter-parameter lain. Misi ini diharap dapat meningkatkan kefahaman kita mengenai formasi sistem planet.

Psyche dijangka akan dilancarkan pada Ogos 2022.

ExoMars 2022

ExoMars adalah program bersama European Space Agency (ESA) dan Roscosmos. Sepanjang misi ExoMars 2022, pendarat buatan Rusia, Kazachok, akan menempatkan rover Rosalind Franklin milik ESA pada permukaan Marikh. Objektif utama rover ini untuk menemui tanda-tanda kehidupan lampau di planet merah tersebut.

ExoMars 2022 dijadualkan meluncur ke Marikh pada September 2022.

--

--

MY Astronomi 🇲🇾

🛰️Peminat/Pentaksub Bidang Astronomi🔭 | Perkongsian berdasarkan fakta. | Tidak terlibat dengan mana-mana badan angkasa. | Penulisan dalam Bahasa Melayu